Ahlan Wasahlan

Khamis, 2 Jun 2011

Blogger itu Pendakwah


Sewaktu di Smap Kajang dahulu,ana diberi peluang untuk melihat bermacam-macam cara yang dipraktikkan dalam berdakwah.Hakikatnya,di sanalah juga ana mengetahui hakikat sebenar apa itu berdakwah. Murabbi-murabbi dan senior-senior di sana secara tidak langsung memberikan aspirasi dan kekuatan kepada mereka  yang berusaha mengenal apa itu erti dakwah,apa itu amar maaruf nahi mungkar.

Dan ana terjun dalam dunia blogging juga merupakan hasil aspirasi daripada senior-senior Smap Kajang yang menggunakan perantaraan blog untuk menyebarkan kebesaran Ilahi.Tidak jemu menulis dan berkarya,menonjolkan keindahan Islam itu sendiri,sama ada peringatan buat diri sendiri atau orang lain.Dan sedari itulah,ana mula menyedari bahawa blogger itu pendakwah.

Menulis kerana Allah

Kalau pembaca di sini belum pernah disoal oleh sesiapa soalan ini,biar ana jadi manusia pertama yang bertanya:

“Apa tujuan anta/anti/kamu berblog?”

Jawapan yang diberikan mungkin pelbagai,mengikut keadaan dan situasi ketika mula-mula dikurniakan ilham untuk menulis di blog.Mungkin kerana minat menulis dan berkarya,minat berkongsi,berusaha menjana pendapatan,pengaruh rakan-rakan lain yang rata-ratanya mempunyai blog sendiri dan malah ada yang sekadar suka-suka.

Tapi,satu perkara yang sepatutnya kita semua sedar,hidup ini keseluruhannya adalah suatu ibadah kepada Allah jika nawaitu itu disandarkan padaNya.Begitu juga halnya yang harus terjadi kepada setiap blogger.

“Sahaja aku berblogging kerana Allah Taala”

Atau

“Sahaja aku menulis kerana Allah Taala”


Pengisian yang Berisi

Tidak kira apa jua bentuk pengisian dalam blog kita,sama ada berbentuk Islami, motivasi, peribadi,perkongsian hidup dan pengalaman,bisnes atau apa sahaja,andai niat kita adalah kerana Allah,InsyaAllah, pasti mampu memberi manfaat dan beerti kepada para pembaca.Pasti ada unsur keindahan Islam yang dapat kita ketengahkan kepada para pembaca.

Andai kita menulis soal kehidupan diri kita,selitkan  nilai dan pengajaran di sebalik perkara kebaikan atau kesalahan yang pernah kita lakukan,agar para pembaca dapat mengambil iktibar daripada penulisan kita.Bukan berniat berbangga dengan kebaikan,apatah lagi berbangga dengan dosa dan maksiat yang dibuat.

Andai kita meminati bidang fotografi,dan sering berkongsi gambar yang diambil bersama pembaca di blog,itu juga mampu mebuat para pembaca berfikir sebentar,bahawa betapa indahnya ciptaan Tuhan. Betapa agungnya Dia yang Mencipta segalanya.


 Jika kita menjalankan bisnes melalui blog,berbisneslah dengan cara Islami. Tiada riba dan unsur penindasan.Tiada unsur penipuan dalam perniagaan.Jika menjual pakaian,biarlah menutup aurat.Andai menjual makanan,biarlah halal dan berkhasiat.InsyaAllah,selain keberkatan dalam berniaga,pastinya ada saham kita di akhirat,kerana mungkin ada pembaca atau pelanggan,atau tidak kurang juga pesaing perniagaan kita yang mempraktikkannya dalam bisnes dan kehidupan mereka.

Islam itu indah,bukan?

Islah Nafsak wad’u Ghairak

“Islahkan dirimu dan ajaklah yang lain”

Jadikan kata-kata ini pedoman dalam kita melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.Islahkan(perelok) diri kita,dan pada waktu yang sama,berusahalah berdakwah kepada yang lain.

Bukan :
“Islah nafsak,thumma ud’u ghairak”
Perbaiki dirimu,kemudian(barulah) ajak orang lain.

Jelas bukan,kita semua dituntut berdakwah.Dan kita sebagai blogger juga mempunyai ruang dan peluang untuk turut sama berdakwah.Cuma,antara mahu atau malu sahaja yang menyuruh atau menghalang kita melakukan tugas mulia ini,atas tiket seorang blogger.

Buang pemikiran:

“Aku bukan ustaz.”

“Aku bukan ustazah.”

“Aku bukan baik sangat pon.”

“Isy,seganlah.Nanti buat salah sikit orang tegur.”

Buang,lempar jauh-jauh semua pemikiran sedemikian.Kesempurnaan bukanlah syarat kelayakan dalam berdakwah dan mengajak orang lain menjadi manusia yang baik.Hakikatnya,tidak akan ada manusia yang sempurna peribadinya seperti Rasulullah.Jika terus menunggu kesempurnaan,Islam itu tidak akan tersebar ke mana-mana.

Berdakwah bukan bermaksud kita manusia soleh atau solehah,tetapi kita manusia yang mengimpikan peribadi yang soleh dan solehah.Mengimpikan redha Ilahi dalam setiap amalan dan perbuatan.Secara tidak langsung,kita juga akan terhindar daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Berblog bukanlah medan kita berdakwah kepada orang lain,tetapi berdakwah kepada dir sendiri dan orang lain.

 
Blogger itu Pendakwah.

Blogger itu Jundullah. 


JoM BaCa ~KUASA kePIMPINan AL-FATEH~

release tension study ~ jalan2 sekitar IOI puchong, singgah sebentar di kedai buku Popular...

puas menelek buku mahathir: 'A Doctor In The House' dgn kakak, kemudian pegi ke bahagian agama...




tetiba kakak kata:


semalam ada org dtg intec, bg ceramah, dia
baru relese satu buku ni... nmpk mcm best je...



kemudian puas la kitorg cari buku tu... kepimpinan al-fateh....


bila dh jumpe, ambik la... nk belek pn x bleh, berbalut, telek la kulitnye je... pstu byr la...


bila dh baca, mmg best ssangat, thp Teta pn boleh... mmg berguna la... klau di hayati btul2, boleh menghidupkan smangat pemuda utk bangkit menegakkan islam...

X percaye??? beli la... baca... mesti tersangkut punyer...

harga: RM 19.00
penerbit: PTS Millenia

Kenangi Semula ~ Sultan Muhd Al Fateh ~

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..."

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.



Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah
kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Biodata Ringkas
Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.
PendidikanBaginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

Keperibadian
Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara BergerakSeterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah
Allahu Akbar
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.

Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa
rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan
ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah
menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota
hebat Konstantinopel.

Kita Hanya Mampu Berdoa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Jika benar kau cintakan mereka, kau tidak akan tergamak membiarkan sahaja.
"Kami yakin, saudara-saudara seIslam kami masih dapat membantu kami.
Kami yakin saudara seakidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupkannya.
Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membantu kami untuk terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan-bantuan dari negara bukan Islam, apatah lagi dari rejim Zionis.
Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami?
Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?"
- Pesanan dari Hamas -
Keadaan di Palestin amat memilukan. Umat Islam di Palestin tertindas, terbunuh, diperkosa, dihapuskan tempat tinggal, dikenakan 'catuan' barang-barang keperluan yang melampau dan berbagai-bagai lagi kekejaman yang dikenakan ke atas mereka. Dan suasana ini berterusan, terus, terus dan terus. Tiada penghujungnya. (Rujuk Qs. 2:120)
Namun kini, akhbar dan media massa sepi daripada berita tentang mereka. Seakan-akan keadaan di sana aman sentosa.
Itulah dia, masyarakat kita. Begitu mudah kita diperkotak-katikkan oleh media massa, sehinggakan cara kita berfikir dan informasi-informasi yang kita ketahui dikuasai dan dikawal oleh mereka.
Maka, jadilah isu Palestin itu satu isu yang ber'musim' sahaja.
Sedangkan sebenarnya, ia tidak.
Hanya mampu berdoa?
Sering kita dengar, "Tidak ada apa yang dapat kita lakukan untuk mereka. Apa yang kita mampu hanyalah berdoa."
"Cukuplah buat kita sedekahkan kepada mereka sepotong doa. Itu sudah cukup buat mereka."
Kata-kata pasrah.
Tidak. Bukan niat saya hendak merendah-rendahkan mereka yang berkata sedemikian. Benar, doa itu penting. Saya tidak menafikannya. Namun benarkah, kita hanya mampu berdoa sahaja?
Hari-hari penduduk Palestin terpaksa berjuang untuk mempertahankan al-Aqsa.
Hari-hari mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa demi membela maruah dan agama mereka.
Sedang kita, hanya bergoyang kaki dan berdoa sahaja?
Cukupkah?
Cuba letakkan diri anda di posisi mereka.
Kenali punca.
Kenali 'akar'nya dahulu.
Setiap perkara yang berlaku, pasti ada punca dan akarnya. Dan untuk kita mengetahui dan merancang usaha-usaha penyelesaian yang perlu kita ambil, amat penting bagi kita mengenal pasti puncanya terlebih dahulu. Ini perlu didahulukan bagi mengelakkan kita silap dalam bertindak dan dalam membuat rumusan, agar tindakan yang mahu direncanakan tepat, membasmi terus masalah daripada akarnya.
Maka suka saya bawakan satu fakta yang bagi saya menarik.
Menurut suatu perangkaan, umat Islam kita di sekitar Palestin, yakni di negara-negara Islam di Tanah Arab sahaja, kesemuanya berjumlah seramai 300 juta orang.
(Ini belum campur sekali dengan bilangan umat Islam di tempat-tempat lain, seperti di Asia, Eropah dll)
Sedangkan, bilangan orang-orang Yahudi di tanah Palestin hanyalah berjumlah 5 juta orang sahaja! (Nisbah, 1:60)
Dari segi saiz, umat Islam boleh diibaratkan seperti 'gajah' dan orang-orang Yahudi hanyalah seperti 'semut'!
Namun, mengapakah kekejaman terhadap umat Islam di Palestin sana tetap berterusan?
Tidak cukupkah lagi bilangan kita itu?
Mengapa 'gajah' masih tidak mampu untuk mengalahkan 'semut'?
Umat Islam masih tidak cukup kuat?
Persoalannya, mengapa?
United We Stand, Divided We Fall
Iman' faktor penyatu.
Ya, masalah sebenarnya umat Islam tidak bersatu. Apa gunanya kuantiti jika kita tiada kualiti?
Jika dilihat umat-umat Islam yang terdahulu, walaupun bilangan mereka lebih kecil, mereka tetap beroleh kemenangan demi kemenangan dalam peperangan-peperangan yang mereka hadapi (Ter'balik' dari situasi kita kini). Dan ini semua berjaya mereka capai atas 'keterikatan hati-hati' di antara mereka.
"Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika adadua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus (orang musuh); Dan jika ada seratus orang (sabar) di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, kerana orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti." [ Surah Al-Anfal (8): 65 ]
Dalam hal ini, suka saya menyentuh 'Peperangan Badar al-Kubra'.
Jika dilihat secara kasar, umat Islam berada dalam posisi yang amat 'kekurangan'. Mari kita perhatikan :
Peperangan berlaku pada bulan 'Ramadhan'.
Jumlah tentera Muslimin hanyalah '313 orang'.
Alatan perang amat-amatlah 'tidak seberapa'. (hanya 2 ekor kuda, 70 ekor unta)
Sedangkan tentera musyrikin Makkah?
1300 askar, dengan 100 ekor kuda, 600 perisai, dan bilangan unta yang terlalu banyak, sehinggakan tidak dapat dipastikan jumlahnya!
Namun akhirnya, pihak mana yang menang? Pihak Islam.
Mengapa?
Apakah 'edge' (kelebihan) yang ada pada umat Islam ketika itu berbanding kaum musyrikin yang ramai, dan lengkap alatan perangnya?
Ya, pihak lawan mungkin mempunyai senjata-senjata yang lebih hebat, alatan-alatan perang yang lebih maju, malah mungkin bilangan tentera yang lagi ramai berbanding umat Islam.
Namun kita? Kita punyai Allah. Yang Maha Perkasa, Yang Tidak Terkalah.
Maka, adakah sesiapa yang dapat mengatasi maupun menandingi kehebatan dan kekuasaan-Nya?
Siapakah yang dapat menghalang kemenangan bagi umat Islam, jika Dia berkehendak sedemikian?
Namun, salahnya pada kita. Kita tidak mahu bersatu.
Kita tidak mahu sama-sama berganding bahu dalam menjunjung  perintahNya.
Solusi: Umat Islam harus segera bertindak! Kita perlu bersatu... Bagaimana?
"Dan taatilah Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sungguh, Allah berserta orang-orang sabar." [Surah Al-Anfal (8): 46]
"Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim sama seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri."  [HR. Bukhari]
Bagaimana kita mahu umat Islam memperjuangkan hak saudara-saudaranya di Palestin, jika ramai umat Islam masih belum mengasihi dan mengambil peduli nasib saudara-saudara yang seaqidah dengan mereka?
Bagaimana kita mahu umat Islam bersatu, dan sanggup menolak ke tepi perbezaan di antara mereka, sedangkan 'tali' persamaan yang mengikat di antara kita masih tidak kuat dan tidak kukuh, yakni iman-iman di dada kita?
Ya, bagaimana?
Maka, mahu tidak mahu, solusinya tidak lain tidak bukan kita perlu membawa masyarakat kita kembali pada Allah.
Memperkemas dan 'saling' memperkukuh iman-iman di dada kita. Membina kembali 'tali' penghubung dan pengikat yang paling ampuh, di antara kita umat Islam.
Kerana, 'IMAN' yang menyatukan kita.
"Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana." [Surah al-Anfal (8): 63]
Hanya Dia sahaja yang dapat menyatukan hati-hati kita, hati-hati orang mukmin.
Hanya Dia sahaja yang dapat mengikat hati-hati umat Islam, walaupun berbeza latar, keturunan, warna kulit, 'kelompok' maupun bangsa.
Hanya Dia sahaja yang dapat memberi kemenangan ke atas umat Islam, walau siapapun pencabar kita.
Maka, kepada 'siapa' lagi harus umat kita kembali dan memohon pertolongan?
Dan dari segala apa-apa tindakan dan usaha yang perlu diambil, saya kira, ini merupakan tindakan yang 'paling utama'. Iaitu, membawa umat Islam KEMBALI kepada Allah, BERSATU (bekerjasama) dalam memperjuangkan agamaNya, dan kesatuan itu terikat atas dasar 'keIMANan' di antara kita.
Ya, ia merupakan solusi utama bagi permasalahan-permasalahan di Palestin. Langkah yang pertama yang perlu diambil sebelum mengambil tindakan-tindakan yang lain.
Maka, masihkah kita hanya mampu berdoa sahaja?
Cukupkah kita dengan hanya melihat dan membiarkan sahaja?
Sedangkan jika hanya umat Islam di Palestin diharapkan, amat-amatlah sukar kerana suasana amat menekan mereka, malah bekalan-bekalan dan peralatan-peralatan mereka amatlah kekurangan.
Dan kitalah yang sebenarnya perlu bangkit. Bangkit dari lena kita. Bangkit dari tido yang panjang.
Ketepikan dan berlapang dadalah akan perbezaan-perbezaan yang ada di antara kita. Tuhan kita sama. Matlamat kita sama. Dan ikatan imanlah yang mengikat hati-hati kita.
Mari kita bersatu. Bangun serentak bersama-sama, membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis.
Selain itu, tetaplah kita terus-menerus sebarkan kesedaran kepada masyarakat akan isu-isu di Palestin. Ya, ia amat penting juga sebagai wacana kebangkitan dan penyatupaduan umat.
Dan sudah pasti, jangan lupa doa dan tawakkal sesudah berusaha.
Sesungguhnya, Dia juga yang menentukan, sama ada usaha kita itu berhasil, atau tidak punya apa-apa makna.
Dengan usaha kita bersama ini, pasti umat Islam akan bangkit kembali!
InshaAllah!
Maka apa tunggu-tunggu lagi?  Jom sama-sama kita bertindak!
Ayuh umat! Mari bangkit!
"Serentak kita maju, ke hadapan kita bergerak!"
"Berangkatlah kamu baik dengan keadaan ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."  [Surah Al-Anfal (9): 41]
Demi al-Aqsa Tercinta
Wahai manusia,
Demi al-Aqsa tercinta,
Jangan sekali kau kata kau tiada daya,
Diam seribu bahasa,
Mampu berdoa cuma?
Namun,
Apakah erti doa,
Jika usahanya tiada.
Rumah Allah itu kian dirobek,
Saudara seakidah kita pula,
Terus dibunuh, dan diperkosa,
Sungguh kejam, sedangkan mereka juga manusia.
Namun kita,
Hanya mampu melihat dan membiarkan sahaja?
Tergamakkah kita?
Bangkitlah kalian,
Demi al-Aqsa tercinta.
Tepuk dada,
Tanya hati,
Sudahkah cukup aku berusaha?
Rujukan :
1.  "Hamas Pejuang Kota Baitul Muqaddis", karangan Maszlee Malik.
2. "Ar-Raheeq Al-Makhtum"- Sirah Rasulullah s.a.w., karangan Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri.

Rabu, 1 Jun 2011

HATI YANG PALING INDAH


Sehingga saat ini, saya masih termenung panjang tatkala mengulang baca sebuah sajak yang baru saya siarkan dua hari yang lalu.

CINTA 100%.


Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.


Andai mereka bertanya, lalu berapa pula peratus cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…


Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

24 February 2011

CINTA 100%

Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk ayah ibumu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu pada suamimu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa peratuskah cintamu untuk anak-anakmu?
Pasti jawapanku 100%.
Andai ada yang bertanya, berapa pula peratus cintamu untuk saudara seakidahmu?
Pasti jawapanku, 100%.
Andai mereka bertanya, lalu berapa peratus pula cintamu untuk dirimu sendiri?
Pasti jawapanku, 100%.

Andai mereka keliru lantas tertanya-tanya, masakan begitu?
Bukankah setelah dibahagi, cinta itu pasti berkurang peratusannya?
Pasti jawapanku, beserta senyum malu-malu,
Ada satu di dunia ini, walau dibahagi seberapa banyakpun, ia tetapkan sama..
Tidak berkurang walau sedikitpun,
Itulah CINTA…
Anugerah paling berharga dari Yang Maha Esa.

p/s : Sekadar mengambil kefahaman dari didikan Junjungan mulia, Muhammad SAW dan masih berusaha untuk mencapainya, doakan saya :


“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Rabu, 1 Disember 2010



Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Arh... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~

FRUST BERCINTA.?! BACA NI....."Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan"





Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku. Semenjak bergelar mahasiswa di IPTA utara ini, bermusafir menjejak ilmu perekonomian yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidurpun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku. Aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ekonomi untuk dihadami. Serabut..?! tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke paras 3 Fakulti Ekonomi yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah!

Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu. "khabar apakah zaid di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah zaid pada husna? Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, maahad johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas kuatur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.

"zaid, maafkan husna. Husna masih menyayangi zaid. Perasaan husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas". Aku tersenyum membaca sms yang ke2. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku. Benar teman, kini dia kembali!

"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan". Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling 'bengkeng' dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan. Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh.

"Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana" Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang! Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati, tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu. Benar aku insan dhaif yang lemah.. lemah dengan cinta manusia yang sia-sia. Aku tertunduk lesu.

"Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model? Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah!"

Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung. "Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang... Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana!"



Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu. "Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!" Aku mencebik dan tersenyum sinis.

"Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini". Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya. Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. STAM, bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal kuraih pada keluargaku.

"Kau terlalu naif!" Aku tersentak, benarkah? "Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu!" Mendatar kalimah itu.

"Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu!" Aku meneliti bait-bait yang terlontar.

"Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nan indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali, Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya." Dia melepaskan satu keluhan. "Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah... sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya." Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku.

Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu. "Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah," terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan. Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan diri ini.

Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Dia masih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah. Benar, kata-katamu itu terlalu benar.

Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi. Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah... terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri. Sms husna ku balas... "Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...